Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Mohammad Mentek memberi ucapan perasmian bagi Kempen Pemilikan Rumah 2019. Foto Facebook / KPKT Malaysia
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kempen pemilikan rumah tawar rebat tunai RM672,000

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Rebat tunai RM672,000 menanti pembeli rumah di bawah harga RM300,000 di Kempen Pemilikan Rumah: Rumah Mampu Milik 2019 (HOC), sebagai salah satu penggalakan kepada pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, rebat itu akan diberikan melalui cabutan bertuah di sepanjang kempen tiga hari itu bermula hari ini, dengan wang rebat tersebut datangnya daripada hasil kutipan sewa 42 gerai pameran yang mengambil bahagian.

“Rebat ini adalah yang pertama kali ditawarkan. Kutipan ini (sewaan gerai) sepatutnya disalurkan kepada kementerian, tetapi kali ini kita berikan kepada pembeli yang bertuah.

“Ini antara inisiatif HOC untuk menarik golongan B40 untuk membeli rumah, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membantu golongan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kempen itu peringkat Zon Tengah di sini hari ini.

Selain rebat itu, kempen bertemakan HOC300 itu turut menawarkan beberapa insentif lain kepada pembeli, seperti diskaun sehingga RM30,000 melalui Skim Perumahan Mampu Milik.

Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) turut menawarkan diskaun dan rebat sehingga 30 peratus, bagi projek yang terpilih, selain baucar sehingga RM30,000 dalam bentuk peralatan elektrik dan perabot rumah kepada pembeli bertuah.

Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia juga menyediakan dana rumah mampu milik, bagi pendapatan isi rumah sebanyak RM4,360 bagi rumah yang berharga sehingga RM300,000, pada kadar 3.5 peratus dengan tempoh pinjaman sehingga 40 tahun atau berumur 70 tahun menerusi bank berdaftar.

Menerusi kempen itu, Mohammad berkata pihak kementerian menyasarkan sebanyak 60 peratus rumah daripada 12,438 unit rumah yang ditawarkan dengan nilai kira-kira RM2.9 billion, akan terjual.

“HOC300 ini telah menyasarkan jualan harga rumah yang amat berpatutan dan menarik, iaitu dalam julat RM100,000 sehingga RM300,000 merangkumi Zon Tengah yang melibatkan lokasi Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak.

“Selepas ini, HOC300 akan diperluaskan penganjurannya ke Zon Utara, Zon Timur dan Zon Selatan bagi membolehkan lebih ramai rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, untuk memiliki rumah,” katanya.

Penganjuran HOC kali ini adalah hasil kerjasama kerajaan bersama PNB Development Sdn Bhd dan Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB) dan melibatkan sebanyak 42 gerai pameran yang meliputi enam pavillion agensi kerajaan, 32 pemaju perumahan swasta, serta empat institusi kewangan serta khidmat nasihat.

Mereka yang berminat boleh kunjungi Pusat Membeli Belah Nu Sentral Kuala Lumpur, bermula hari ini hingga 6 Okt dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

-BERNAMA


Pengarang :