AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Diarah bela diri kes terima rasuah RM2 juta

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, mengarahkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membela diri atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, tiga tahun lepas.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya dalam mewujudkan prima facie terhadap kes Tengku Adnan, 68.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 68, sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong, 60, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 23 Januari lepas, Tengku Adnan, mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya di hadapan Hakim Mohamed Zaini, selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.

Perbicaraan selama 12 hari bermula pada 2 Julai dengan 23 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan antara saksi tersebut ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Chai.

Tengku Adnan diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim.

Sementara itu, mahkamah menetapkan empat hari bermula 10 Januari tahun hadapan iaitu 10, 17, 20 dan 21 untuk Tengku Adnan membela diri.

Ketika ditanya jurubahasa mengenai prosiding bela diri itu, Tengku Adnan yang kelihatan tenang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi.

Terdahulu, peguam Hock Chuan memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan akan memanggil lima atau enam saksi termasuk anak guamnya untuk memberi keterangan.

– BERNAMA


Pengarang :