AGENDANASIONAL

Keputusan akhir pendakwaan Ku Nan 14 Oktober

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Keputusan sama ada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan dipanggil untuk membela diri atau dilepaskan daripada tuduhan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, akan diketahui pada 14 Oktober ini.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Mohamed Zaini Mazlan selepas selesai mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim dan peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Ahli Parlimen Putrajaya itu.

Pada tarikh tersebut, mahkamah akan membuat keputusan sama ada akan memanggil Tengku Adnan untuk membela diri atau melepaskan dia daripada pertuduhan tersebut.

“Saya tidak akan membuat keputusan terburu-buru, saya akan pastikan sama ada kes ini berbentuk prima facie atau tidak. Saya juga akan meneliti kes itu dengan sebaik mungkin,” kata Mohamed Zaini.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Pada 23 Januari lepas, Tengku Adnan, 68, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Seramai 23 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 2 Julai lalu itu.

Antara saksi tersebut ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Chai yang merupakan pengarah urusan Aset Kayamas.

-BERNAMA


Pengarang :