Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan belum rancang bina terminal tambang murah di semua negeri

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kerajaan belum mempunyai perancangan untuk membina terminal khusus bagi Penerbangan Tambang Murah (LCC) di semua negeri.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata apa yang menjadi keutamaan adalah operator lapangan terbang memahami keperluan operasi dan perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah.

“Saya ada melawat beberapa lapangan terbang di negara luar seperti United Kingdom yang operasinya menggabungkan perkhidmatan penuh dan LCC.

“Apa yang dilakukan mereka, keperluan LCC ini difahami oleh operator lapangan terbang seperti penggunaan aerobridge atau kemudahan daftar masuk yang lebih mudah,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PAKATAN-Bukit Bendera) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk menggalakkan penerbangan tambang murah sama ada syarikat tempatan atau antarabangsa bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati tambang kapal terbang yang lebih ekonomik.

Menjawab soalan tambahan daripada Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin tahu sama ada kerajaan mahu menetapkan harga siling atau lantai bagi mengawal harga tambang penerbangan, Loke berkata kerajaan tetap dengan pendirian sebelum ini untuk tidak memperkenalkan harga siling bagi tambang penerbangan.

“Ini kerana ia tidak memenuhi pasaran ekonomi. Memang kadang kala tambang penerbangan tinggi terutama pada musim perayaan namun kita telah mengambil langkah-langkah yang diperlukan,” katanya.

Loke sebelum ini dilapor berkata kerajaan memutuskan untuk tidak memperkenalkan harga siling untuk tambang penerbangan kerana ia akan memberi kesan kepada pengguna dalam jangka panjang.

Katanya hasil kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menunjukkan bahawa purata tambang penerbangan sehala domestik di Malaysia semakin berkurangan dalam tempoh beberapa tahun lalu.

-BERNAMA


Pengarang :