AGENDANASIONAL

Kerajaan cadang perkenal dasar baharu kukuh industri plastik

SUBANG JAYA, 1 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan dasar baharu bagi memperkukuhkan industri plastik di negara ini termasuk garis panduan menyeluruh mengenai kitar semula dan pengimportan plastik.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan menyasarkan polisi baharu itu diperkenalkan tahun hadapan.

“Pasaran global kitar semula plastik bernilai AS$600 bilion dan Malaysia harus mengambil kesempatan ini dan memanfaatkan potensi industri.

“Kita boleh ambil input daripada kertas putih ini untuk menjadikan garis panduan yang lebih menyeluruh dalam memperkasakan industri plastik,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Kertas Putih Industri Kitar Semua Plastik Malaysia, di sini, hari ini.

Kertas putih itu yang diterbitkan oleh Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) dan Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia (MPRA) adalah langkah pertama industri kitar semula plastik menjelaskan kepada pihak berkepentingan untuk membangunkan industri kitar semula plastik serta kepentingan menguruskan infrastruktur aliran sisa plastik bagi membangunkan ekonomi yang berdaya maju.

Sementara itu, Naib Presiden MPMA, CC Cheah berkata, industri kitar semula plastik kini menyumbang RM4.5 bilion kepada ekonomi Malaysia dan berpotensi meningkat sehingga RM20 bilion setahun dengan peningkatan pelaburan dalam teknologi, infrastruktur dan peningkatan kapasiti yang lebih baik.

“Kami sahaja tidak dapat menyelesaikan isu pencemaran plastik tetapi dengan bekerja bersama-sama dengan pemegang taruh industri plastik, kita boleh membina industri kitar semula plastik yang maju,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :