AGENDA NASIONAL

Kerajaan dalam proses siapkan panduan tatacara tulisan jawi

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam proses menyediakan garis panduan berkaitan tatacara pelaksanaan pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata surat siaran akan diedarkan kepada semua sekolah di seluruh negara sebelum sesi persekolahan 2020 bagi memastikan pelaksanaan pengenalan tulisan jawi di sekolah tahun hadapan berjalan lancar.

“Walau apa pun isu yang timbul berkenaan pengenalan tulisan jawi ini, saya ingin tegaskan bahawa KPM akan terus melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan tulisan jawi sebagai sejarah warisan negara diperkasakan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa,” katanya pada sesi Persidangan Kamar Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Maszlee berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai Kurikulum Standard Sekolah Rendah semakan bagi subjek Bahasa Melayu Tahun 4 dan pengenalan Seni Tulisan Khat sebagai pengisian tambahan.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan memutuskan pelaksanaan tulisan khat jawi akan dilaksanakan secara pilihan dan hanya akan dilakukan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid SJK manakala di Sekolah Kebangsaan akan diteruskan seperti biasa.

Untuk tujuan pemerkasaan pelaksanaan itu, beliau berkata pihaknya akan menyediakan ruang penulisan tulisan jawi dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Tamadun Islam, Tunas Cipta, Dewan Pelajar yang boleh disebarkan kepada murid pelbagai kaum.

“Selain itu, KPM akan melantik Munsyi Dewan (Jawi) dalam kalangan penggiat tulisan Jawi. Sehingga kini, terdapat 51 Munsyi Dewan (Jawi). Kementerian akan melaksanakan program dan klinik Jawi seperti Kursus Pembinaan Munsyi Dewan (Jawi) serta Kursus Pengkaedahan Jawi Guru KAFA,” katanya.

Walaupun tiada keperluan menetapkan setiap murid wajib lulus pengenalan tulisan jawi buat masa ini, Maszlee berkata ia merupakan strategi bagi menyokong pelaksanaan kemahiran bahasa selain memperkayakan murid dengan pengetahuan seni, warisan serta Bahasa Melayu.

Katanya tulisan jawi bukan merupakan suatu mata pelajaran atau subjek, tetapi diperkenalkan sebagai aspek seni bahasa.

“Besarlah harapan saya agar isu ini tidak dipolitikkan, sebaliknya marilah kita menjadikan pendidikan sebagai wadah utama perpaduan rakyat Malaysia selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :