AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan disaran perhalusi pelaksanaan 90 hari cuti bersalin

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Kerajaan disaran supaya memperhalusi pelaksanaan tempoh cuti bersalin 90 hari mulai 2021 supaya ia memberi manfaat seimbang kepada majikan dan pekerja.

Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata kerajaan harus mempertimbangkan dasar ‘menang-menang’, seperti pemberian insentif kepada majikan yang memberi cuti kepada pekerja mereka.

“Dalam sektor swasta, kebanyakan adalah ‘business based’. Kerajaan perlu memikirkan sesuatu insentif kepada majikan, sebab majikan mungkin terpaksa tanggung kesan tertentu semasa ketiadaan pekerjanya yang bercuti…perlu ada dasar yang saling menguntungkan.

“Kerajaan juga boleh mempertimbangkan penggunaan Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) untuk menangani isu ini. Kita khuatir apabila hanya pekerja sahaja mendapat manfaat, majikan akan takut menggajikan pekerja wanita, sekali gus akan wujud isu diskriminasi terhadap golongan ini,

“Cadangan (90 hari cuti bersalin) sudah molek (baik), tapi perlu diperhalusi lagi agar beri manfaat kepada pekerja, majikan, kerajaan dan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dilaporkan berkata majikan berisiko menanggung peningkatan kos operasi hingga RM2.7 billion setahun sekiranya tempoh cuti bersalin 90 hari itu dikuatkuasakan pada 2021 nanti.

Memperjelaskan perkara itu kepada Bernama, Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan melihat majikan yang menjalankan perniagaan kecil adalah yang paling berisko menanggung kesan itu berbanding majikan daripada syarikat besar.

“Di Malaysia ada lebih 650,000 majikan daripada perniagaan kecil yang kebanyakannya menggajikan kurang daripada 10 pekerja dan perkara (cuti bersalin) ini dikhuatiri akan menambahkan beban kewangan dan kekangan dalam menjalankan perniagan pada majikan terbabit.

“Kita tidak menentang hasrat kerajaan itu, namun kerajaan perlu meneliti pilihan lain untuk pekerja yang pada masa sama membantu majikan juga,” katanya.

Katanya, kerajaan harus mengkaji secara mendalam cadangan itu termasuklah tidak menjadikan ia sebagai perkara yang mandatori kepada majikan sebaliknya lebih fleksibel dan terbuka.

Shamsuddin mencadangkan kerajaan membantu majikan menanggung kos tambahan (tambahan 30 hari bercuti) menerusi perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial atau Skim Insurans Pekerja (EIS).

“Sebagai alternatif, kerajaan boleh menyediakan mekanisme yang sesuai untuk menanggung kos tambahan 30 hari, seperti sebagaimana majikan dan pekerja menyumbang kepada EIS.

Beliau berkata kerajaan perlu fleksibel dengan membenarkan majikan membuat keputusan sama ada untuk memberi cuti tambahan berdasarkan pertimbangan budi bicara dan keadaan organisasi atau pekerja itu boleh diberi cuti tanpa gaji.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kerajaan bercadang untuk memanjangkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari mulai 2021 di bawah strategi memodenkan pasaran buruh.

Katanya, kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 meliputi empat perkara termasuk tempoh cuti bersalin, bagi memastikan akta itu kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.

-BERNAMA


Pengarang :