AGENDANASIONAL

Kerajaan komited laksana sistem pengurusan sisa pepejal lebih teratur

KUALA TERENGGANU, 28 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih teratur dan efektif di seluruh negara.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, sebagai permulaan, empat tapak pelupusan sampah baharu yang lebih teratur dengan kombinasi beberapa teknologi lebih moden akan dibina dan dinaiktaraf di seluruh Terengganu.

Katanya, empat lokasi yang telah dikenalpasti ialah di Sungai Ikan untuk pelupusan sampah bagi daerah Kuala Terengganu dan Setiu, Bukit Jemalang (Kemaman dan Dungun), Tertak Batu (Marang dan Hulu Terengganu) serta Pengkalan Keling (Besut).

“Dalam taklimat mengenai pengurusan sisa pepejal yang disampaikan kepada saya semalam, terdapat tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu, namun tapak pelupusan sampahnya berterabur dan tidak dikawal selia dengan efektif.

“Oleh itu, ia perlu diselaraskan dengan pemilihan empat lokasi tersebut untuk memastikan Terengganu sebagai negeri pelancongan yang akan mempunyai sistem pengurusan terbaik dari aspek kebersihannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan terminal pengangkutan awam bersepadu di KT Sentral dekat Bandar Baru Bukit Besar di sini, hari ini.

Ketika ini, Terengganu hanya menghasilkan kira-kira 500 tan sampah setiap hari dan jumlah itu dikategorikan sebagai sederhana berbanding negeri maju yang menghasilkan sisa pepejal lebih tinggi seperti Selangor kira-kira 7,000 tan sampah sehari dan Kuala Lumpur sebanyak 3,000 tan.

Zuraida berkata, fokus utama kementerian ialah pengurusan yang teratur dan bersistematik tanpa mengira kuantiti sampah di sesebuah negeri.

“Negeri yang maju lagi banyak sampah, tapi isunya di sini ialah pengurusan yang berkesan, kalau pengurusan tak elok, sikit pun jadi teruk. Sebab tu negeri maju pengurusannya lebih kemas, banyak teknologi baharu dan boleh kitar semula serta menghasilkan duit sebenarnya.

“Jadi kita nak mula dengan Terengganu ni dari peringkat awal sebelum jadi lagi banyak sampah tu. Bila pengurusannya tersusun dan teratur, semuanya akan bersistem dan tidak mendatangkan masalah apabila Terengganu semakin membangun,” katanya.

Mengulas mengenai pembinaan terminal pengangkutan awam bersepadu itu, Zuraida berkata kerajaan pusat akan menyokong cadangan pembinaan itu, namun Kerajaan Negeri perlu membuat pembentangan yang lebih terperinci kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan KPKT untuk kelulusan.

“InsyaAllah kita akan serap projek ini ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Projek ini dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dengan kos dianggarkan RM156 juta.

“KT Sentral ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan di Terengganu seterusnya menjadi ‘mini Putrajaya’ kerana kawasan sekitarnya juga pesat dengan pembangunan beberapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kimia, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Kesihatan,” katanya.

Ditanya mengenai hentian bas sedia ada di Jalan Syed Husin di sini, Zuraida berkata kerajaan tidak akan merobohkannya, malah ia akan dinaiktaraf untuk memberi peluang kepada lebih ramai peniaga beroperasi di situ.

“Kedudukannya juga sangat strategik dan akan bertindak sebagai hub sokongan untuk sistem pengangkutan awam bersepadu di Kuala Terengganu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :