AGENSISELANGOR

Kerajaan Negeri dan Kemboja sokong usaha JAIS

PHNOM PENH, 29 OKT: Usaha Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membawa sistem pendidikan Islam ke Kemboja mendapat sokongan penuh kerajaan masing-masing.

Ketua Projek Pembangunan Islam Kemboja JAIS, Muhamad Asmadi Mustakim berkata, usaha dijalankan sejak 2012 itu turut mendapat sokongan dan kerjasama erat Mufti Kemboja melalui Majlis Pimpinan Tertinggi Islam Kemboja.

 

“Kita mulakan usaha ini sejak 2012 dengan melahirkan Perancangan Strategik 2013 hingga 2018 dan dilanjutkan lima tahun berikutnya sehingga 2022.

“Bagi tempoh tujuh tahun bermula 2013, hasil pencapaian kita membanggakan khususnya bantuan dari syarikat milik Kerajaan Negeri, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan Unit Pendidikan Islam Petaling.

“Kerajaan Kemboja yakin usaha dijalankan ini mampu meningkatkan taraf pendidikan masyarakat Islam negara itu khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Program Lawatan Tangungjawab Sosial Koporat Delegasi Unit Pendidikan Islam Petaling Ke Sekolah Agama Kampung Kancong, Wilayah Kampung Chanang di sini, semalam.

Muhamad Asmadi berkata, antara usaha penting bagi menjayakan pemindahan sistem pendidikan itu adalah menghasilkan terjemahan buku teks sekolah agama JAIS dalam Bahasa Cham dan Khmer.

Katanya, sehingga kini sistem pendidikan dan buku teks itu digunakan di hampir 25 wilayah dan semakin berkembang ke seluruh Kemboja.

Selain menterjemahkan buku teks, JAIS turut menyediakan latihan kepada guru, panduan modul pembelajaran dan kaedah peperiksaan untuk pelajar di Kemboja.

Terdahulu, delegasi Unit Pendidikan Daerah Petaling melihat sendiri suasana pembelajaran membabitkan 350 pelajar di Sekolah Agama Kampung Kancong.

Sekolah berkenaan dijangka menjadi model kepada sekolah agama lain berikutan ia antara sekolah terawal menggunakan sistem pendidikan Islam JAIS sepenuhnya.

Mereka turut menyerahkan sumbangan set komputer lengkap bersama mesin pencetak dan naskhah Al-Quran kepada sekolah itu.


Pengarang :