Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bergambar bersama Usahawan Program SELDEC pada Majlis Pelancaran Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC) Ruang Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Shah Alam. 3 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri lancar SELDEC, bantu usahawan IKS

SHAH ALAM, 3 OKT: Kerajaan Negeri melancarkan Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (SELDEC) bagi membantu meningkatkan pendapatan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pengusaha luar bandar di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, SELDEC bertujuan menangani isu berkaitan ekosistem rantaian pengurusan perniagaan dengan memanfaatkan sumber sedia ada, mengurangkan kos kitaran hayat pegangan produk dan mengurangkan isu orang tengah.

Katanya, sistem itu menjadi lebih mudah sekali gus menjana keuntungan yang lebih baik bukan sahaja kepada pengusaha dan usahawan luar bandar tetapi memberikan pendapatan sampingan kepada kurier yang menghantar barangan terbabit.

“SELDEC akan dikuasakan dengaan aplikasi digital bagi membantu usahawan dan pengguna menempah barangan yang diingini secara terus.

“Bagi fasa awal pembangunan SELDEC, fokus kita adalah untuk meningkatkan kefahaman melalui beberapa sesi taklimat dan latihan yang dihadiri golongan usahawan IKS dari serata Selangor.

“SELDEC juga akan dibangunkan secara berperingkat pada fasa kedua dengan penumpuan kepada semua jenis perniagaan IKS antaranya makanan tempatan, perkhidmatan, pakaian manakala fasa ketiga baru kita memberi fokus terhadap produk segar seperti ikan, sayur serta buah-buahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan Pelancaran Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (SELDEC) di Bangunan Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata, SELDEC mungkin tidak wujud jika tiada kerjasama dari PKNS, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Koperasi Warga Hijrah Selangor (KOHIJRAH) bersama Kerajaan Negeri bagi mencungkil usahawan yang berpotensi untuk menyertai program ini.

“Untuk fasa pertama seramai 33 usahawan terdiri daripada 17 usahawan bernaung di bawah PKNS, sembilan usahawan KOHIJRAH, tujuh usahawan PKPS sudah mendaftar untuk menyertai SELDEC.

“Kami yakin untuk fasa seterusnya lebih ramai lagi usahawan akan mendaftarkan diri untuk menyertai program ini,” katanya.

SELDEC adalah hasil usahasama dengan syarikat logistik tempatan iaitu Line Clear milik penuh MMAG Holding Bhd yang tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia.

Manakala, SELDEC juga bekerjasama dengan SSDU Innovations Sdn Bhd yang juga dikenali sebagai Smart Selangor Delivery Unit untuk membangunkan aplikasi telefon pintar dan tablet bagi memudahkan transaksi pembelian dan meluaskan capaian ke serata Selangor.


Pengarang :