AGENSISELANGOR

Kerajaan Negeri seru pemain IKS ikuti kursus OSH

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Negeri menyeru lebih banyak industri kecil dan sederhana (IKS) di Selangor untuk mengikuti program Sokongan Pematuhan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) dan Penyelaras OSH bagi mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, program itu adalah langkah yang diambil Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk meningkatkan bilangan dan kualiti pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sektor IKS.

Katanya, ia juga bagi membantu majikan sektor IKS menambah tahap KKP di tempat kerja selaras dengan Sokongan Pematuhan OSH dan Penyelaras OSH IKS diperkenalkan dalam Pelan Strategik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sektor IKS 2016-2020 (IKS 2020).

“Sehingga kini sejumlah 120 penglibatan kilang IKS sudah mengikuti program itu sejak dimulakan pada 2017.

“Angka itu kecil dan sama sekali dan tidak berpadanan dengan jumlah IKS yang wujud di Selangor justeru, Kerajaan Negeri menyeru pengusaha IKS untuk bekerjasama dengan JKKP terlibat dalam program bimbingan ini.

“Kerajaan Negeri juga tidak akan berkompromi berkenaan aspek ini memandangkan di Selangor ramai pekerja asing dan kita mahu memastikan lebih banyak pengusaha IKS mengikuti program terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Sokongan Pematuhan OSH dan Penyelaras OSH IKS peringkat Selangor 2019 di Holiday Inn Kuala Lumpur, Glenmarie, di sini, hari ini.

Khairuddin berkata, kadar kemalangan pekerjaan adalah 1,284 kes direkodkan membabitkan 25 kes kemalangan maut, 47 kes hilang upaya kekal, 1,172 kes tidak hilang upaya kekal dan 40 kes kejadian berbahaya sehingga 30 September, baru-baru ini.

Katanya, jumlah dilaporkan menurun berbanding kemalangan tahun lalu nisbah sebanyak 2.19/1,000 manakala kematian pula pada nisbah 2.96/100,000 kes.

“Walaupun kadar kemalangan menurun namun Kerajaan Negeri menyeru kepada semua untuk memastikan ia terkawal dan tidak meningkat,” katanya.


Pengarang :