Mohamad Sabu bersama penerima dalam Majlis Penyampaian Tawaran Pembiayaan Pinjaman Hijrah Selangor dan Sumbangan Deepavali di Taman Sentosa Perdana 2, Klang pada 22 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan PAKATAN utama semua kaum

KLANG, 22 OKT: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengutamakan semua kaum dan mengamalkan prinsip ‘hidup rakyat Malaysia’, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

“Dalam PAKATAN kita menghormati semua kaum dan jika inginkan persaingan kita berlumba, malah ALLAH SWT juga minta kita sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan (fastabiqul-khairat).

“Orang Melayu, Cina dan India semua ada kebaikan, dan masing-masing berlumba buat kebaikan bukannya buat jahat.

“Jika orang India hebat jual rempah, kita belajar, jika Cina hebat berniaga di bengkel, cuba lihat cara mereka layan pelanggan dan begitu juga Melayu yang pandai menjahit atau menjalankan perniagaan makanan, kita sama-sama belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Penyampaian Sumbangan Deepavali anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja bersama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) dah Pertubuhan Kebajikan Amal Isteri Isteri Harapan dan Penyampaian Hijrah Selangor di sini, hari ini.

Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Seramai 130 penduduk yang terdiri daripada kaum India menerima bantuan Deepavali sementara 52 lagi mendapat bantuan daripada Yayasan Hijrah Selangor.

Majlis yang diadakan di Pusat Khidmat Kota Raja itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan ADN Sentosa, Gunarajah R George.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, warganegara Malaysia sepatutnya menjadi rakyat yang berguna dengan tidak bertikam lidah serta memainkan isu perkauman.

“Janganlah kita hidup begitu, jika diteruskan kita hidup pun tak akan aman.

“Sempena sambutan Deepavali tidak lama lagi, saya berharap supaya kesemua penduduk di Kota Raja menyambutnya dengan aman dan gembira serta pada masa sama menghayati maksud keharmonian yang kita kecapi,” katanya.


Pengarang :