AGENDANASIONAL

Kerajaan Persekutuan disaran terus tingkat hasil pendapatan

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kerajaan Persekutuan disaran meneruskan usaha meningkatkan hasil pendapatan melalui pelbagai sumber, dan mengamalkan perbelanjaan secara berhemat, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018, Penyata Kewangan kerajaan Persekutuan.

Dalam syornya, pihak audit menyarankan kerajaan Persekutuan mengurangkan tunggakan hasil dan tunggakan Pinjaman Boleh Dituntut serta membuat bayaran balik/hutang mengikut jadual yang ditetapkan, bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya.

“Ketua setiausaha kementerian/ketua jabatan juga perlu mempertingkat penglibatan secara ‘hands on’ dalam urusan kewangan.

“Sistem ‘semak dan imbang’ dan penilaian secara berkala terhadap kerja yang dilaksanakan oleh pegawai, termasuk memberi latihan untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan pegawai,” menurut audit dalam laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, pihak audit berkata keberkesanan fungsi Unit Audit Dalam di kementerian/jabatan perlu dipertingkat, antaranya memastikan anggota Unit Audit Dalam (UAD) mendapat latihan dan bimbingan yang secukupnya dan menyediakan rancangan audit tahunan supaya pengauditan dapat dilaksanakan mengikut keutamaan.

Ia juga perlu membuat penilaian secara objektif dan bebas, bukan sahaja berkaitan aspek kawalan dalaman, malahan risiko dan tadbir urus organisasi serta melaporkan penemuan signifikan serta mengesyorkan cadangan yang memberi impak kepada organisasi.

Dalam rumusan laporan itu, secara keseluruhan kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan pada akhir 2018 berjumlah RM232.883 bilion, peningkatan RM12.476 bilion atau 5.7 peratus berbanding 2017.

Perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM287.055 bilion iaitu meningkat RM24.477 bilion berbanding 2017.

Kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM53.385 bilion dengan nisbah defisit kepada KDNK pada paras 3.7 peratus.

Kerajaan Persekutuan membuat pinjaman dari dalam dan luar negara berjumlah RM131.599 bilion bagi membiayai perbelanjaan pembangunan dan bayaran balik hutang.

Laporan itu menyebut hutang Persekutuan sebanyak RM741.049 bilion dengan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada paras 51.8 peratus.

Kerajaan Persekutuan juga memberi jaminan ke atas pinjaman yang dibuat oleh badan berkanun atau syarikat, berjumlah RM266.468 bilion.

Perbelanjaan kerana hutang negara (kos bagi mendapatkan pinjaman dan faedah pinjaman) meningkat kepada RM30.547 bilion pada 2018.

Pelaburan kerajaan Persekutuan dalam deposit, sekuriti dan pegangan saham syarikat atau badan berkanun atau agensi berjumlah RM31.058 bilion.

Bagi Akaun Belum Terima (ABT) Kerajaan Persekutuan pada akhir 2018 berjumlah RM86.935 bilion, terdiri daripada Pinjaman Dan Pendahuluan Boleh Dituntut serta Pelbagai Akaun Belum Terima.

Laporan itu juga menyebut kedudukan keseluruhan hutang awam dan komitmen kewangan kerajaan berjumlah RM 1.021 trilion.

-BERNAMA


Pengarang :