AGENDANASIONAL

Kerajaan rangka undang-undang kawal selia teksi motosikal

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Kementerian Pengangkutan kini dalam proses membangunkan kerangka undang-undang dan syarat perkhidmatan untuk ‘bike-hailing’ atau teksi motosikal.

Timbalan Menterinya Datuk Kamarudin Jaffar berkata ia bagi memudahkan kerajaan mengawal selia perkhidmatan itu dan melesenkannya dengan syarat-syarat yang setara sebagaimana ditetapkan dalam perkhidmatan e-hailing.

“Kita dapati perkhidmatan ini mempunyai konsep yang sama dengan perkhidmatan kenderaan e-hailing yang melibatkan tempahan menerusi aplikasi dalam talian dan perkara yang membezakannya hanyalah jenis kenderaan yang digunakan.

“Oleh itu, kerangka perundangan ini perlu untuk menjaga kebajikan dan keselamatan orang awam yang menggunakan perkhidmatan tersebut, di samping bagi memastikan satu ekosistem perkhidmatan yang mempunyai peraturan seragam dan adil,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai perkembangan terkini cadangan pelaksanaan teksi motosikal atau Gojek serta jaminan keselamatannya kepada orang awam.

Selain itu, Kamarudin berkata, perkhidmatan penghantaran barangan menggunakan motosikal juga bakal dikawal selia dan dilesenkan.

Ia akan melibatkan pindaan ke atas undang-undang sedia ada iaitu Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta kaedah-kaedah berkaitan di bawah undang-undang tersebut.

Menjawab soalan tambahan Mohd Salim berkenaan jumlah peluang pekerjaan yang dapat dihasilkan melalui pelaksanaan Gojek, Kamarudin berkata dianggarkan sebanyak sejuta peluang pekerjaan bakal diterbitkan perkhidmatan itu.

-BERNAMA


Pengarang :