Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan sudah mulakan kajian semula garis kemiskinan

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Kerajaan sudah memulakan kajian semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sejak Mac lalu bagi memberi gambaran sebenar isu kemiskinan di negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini bahawa ia dilaksana dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Kesihatan serta jabatan dan agensi berkaitan.

Katanya, kadar kemiskinan rasmi di Malaysia sebelum ini dikira berdasarkan cerapan data Tinjauan Pendapatan Isi Rumah yang dilakukan mengikut piawaian amalan antarabangsa yang diselenggara Bahagian Statistik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung laporan pelapor khas PBB, yang mendakwa kadar kemiskinan di negara ini lebih tinggi daripada apa yang dilaporkan.

Mengulas lanjut, perdana menteri berkata perangkaan kemiskinan daripada Tinjauan Pendapatan Isi Rumah (HIS) masih relevan dan boleh dipercayai pada peringkat penilaian makro namun pada peringkat lebih mikro seperti negeri atau daerah, perangkaan HIS perlu digunakan secara berhati-hati.

“(Ini) kerana ia tidak menggambarkan corak penggunaan, keperluan serta demografi sebenar isi rumah berikutan ralat persampelan yang tidak boleh dielakkan,” katanya.

Menyedari hakikat itu, katanya, kerajaan mengambil langkah mengkaji semula PGK.

Dr Mahathir seterusnya berkata dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), kerajaan memperkenalkan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) sebagai pelengkap kepada PGK untuk mengukur dan memantau kemiskinan dalam perspektif pelbagai dimensi seperti kesihatan, pendidikan, pendapatan dan taraf hidup.

Katanya, usaha pembasmian kemiskinan akan dibuat secara berterusan dan efektif termasuk dengan menambah baik sistem pangkalan data kemiskinan nasional, eKasih.

Beliau berkata strategi utama kerajaan dalam membasmi kemiskinan adalah melalui usaha meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat terutama dalam kalangan isi rumah miskin dan berpendapatan rendah.

“Antara bantuan kepada kumpulan sasar ini ialah Bantuan Sara Hidup, kemudahan pemilikan perumahan, akses kepada pendidikan dan kesihatan yang berkualiti,” katanya.

Usaha itu, katanya, akan dapat memastikan setiap isi rumah diberi perhatian sewajarnya sejajar dengan konsep pembangunan inklusif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata beliau sudah mengarahkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi supaya meneliti laporan ‘End of Missions Statement’ oleh pelapor khas PBB itu.

Ia antara lain mendakwa situasi kemiskinan di Malaysia adalah berbeza berbanding situasi sebenar.

-BERNAMA


Pengarang :