Baru Bian (tiga, kanan) melihat hasil kerja peserta pertandingan akhir World Skills Malaysia Belia 2019 bagi kategori ‘plastering and drywall system’ selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pembinaan Edisi Terengganu dan Pertandingan World Skills Malaysia Belia 2019 di Akademi Binaan Malaysia (Abm) Wilayah Timur hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan terima empat tawaran ambil alih PLUS

KUALA BERANG, 19 OKT: Kementerian Kerja Raya mengesahkan setakat ini menerima empat tawaran rasmi daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

Menterinya Baru Bian berkata pihak yang mengemukakan tawaran itu ialah Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.

Katanya kesemua tawaran itu akan diteliti dan dibawa ke mesyuarat kabinet dalam beberapa minggu lagi untuk diputuskan.

“Pada tahap ini kita sedang mengkaji semua (tawaran) itu dan bagi Kementerian Kerja Raya yang bertanggungjawab atas lebuh raya bertol di seluruh Malaysia, kita menyediakan semua tawaran ini dan akan kemukakan kepada Kabinet serta menasihati apa yang terbaik.

“Ia akan diselesaikan dalam masa dua minggu,” katanya selepas merasmikan program Jelajah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pembinaan-Edisi Terengganu dan Pertandingan Worldskills Malaysia 2019 di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, di sini hari ini.

Baru berkata walaupun kementerian mempunyai tempoh sendiri untuk menyelesaikan perkara itu, namun akan cuba melakukannya secepat mungkin kerana memahami ia adalah kebimbangan rakyat.

“Kita akan lakukan dalam waktu yang diperuntukkan dan kita memang mahu ia dilaksanakan secepat mungkin.

“Saya faham ini satu isu yang dibimbangkan bagi rakyat Malaysia dan sudah pasti kita tak akan melengahkannya terlalu lama,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :