Azmizam Zaman Huri. Foto ARKIB SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kerja baik pulih jalan FT 180 Pelabuhan Utara giat dilaksana

KLANG, 31 OKT: Kerja membaik pulih permukaan jalan di FT 180 Seksyen 3.00-4.50, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang yang didakwa kerap mengalami kerosakan sudah mula dilaksanakan melalui kaedah ‘Cold In Place Recycling’ (CIPR), malam tadi.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata pembaikan jalan terbabit bermula dari Stesen Minyak Shell Kota Pendamar menghala ke Pelabuhan Utara hingga Stesen Minyak Petronas Kota Pendamar.

Katanya kerja baik pulih yang dijangka siap sepenuhnya pada 30 November ini dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang melalui konsesi Roadcare Sdn Bhd.

“Lebuh raya di kawasan ini sentiasa mengalami kerosakan struktur ekoran aliran trafik yang sangat tinggi pada setiap masa dan banyak digunakan kenderaan berat seperti lori kontena.

“Kaedah CIPR digunakan bagi membaiki pavemen lama yang mengalami kerosakan struktur dengan menggunakan semua bahan pavemen asal yang dipecah dan dihancurkan sebelum digaul bersama simen serta akan dihampar dan dimampatkan semula.

“Bahan simen digunakan bagi membantu menguatkan struktur dan secara tidak langsung menyerap tekanan atau bebanan di atas jalan, selain permukaan lapisan ‘road base’ yang baharu itu akan diturap dengan ‘Asphalt’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPK Bil.10/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, di sini hari ini.

Azmizam berkata bagi memastikan kelancaran proses baik pulih jalan berkenaan, JKR Klang akan menutup jalan membabitkan sebelah lorong secara berperingkat pada setiap hari bermula 10 malam sehingga 5 pagi.

“Ini kerana kaedah CIPR tidak seperti kaedah biasa yang akan mengambil masa agak panjang untuk dilaksanakan dan menyebabkan aliran trafik terganggu serta tidak lancar.

“Saya berharap semua pihak yang menggunakan jalan raya di kawasan ini supaya dapat bersabar dan memberikan kerjasama sebaiknya semasa kerja membaik pulih sedang dijalankan.

“Pemandu juga diingatkan supaya mematuhi peraturan had laju, papan tanda amaran dan lalu lintas serta merancang perjalanan untuk menuju ke destinasi masing-masing, terutama pada waktu puncak,” katanya.


Pengarang :