SELANGOR

Kerosakan sistem LRA, bekalan air di Hulu Langat alami gangguan

SHAH ALAM, 13 OKT: Beberapa kawasan di Wilayah Hulu Langat terjejas gangguan bekalan air berikutan insiden kerosakan pada sistem elektrikal Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, insiden berkenaan menyebabkan lima pam air mentah tidak dapat beroperasi.

Katanya, berlaku penyusutan pengeluaran air terawat sebanyak 180 liter sehari (MLD) daripada pengeluaran harian sebanyak 470 MLD.

“Pasukan teknikal kami sedang berusaha mengatasi masalah ini dan meminimakan impak gangguan bekalan kepada pelanggan yang terjejas.

“Bantuan lori-lori tangki air akan digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk status dan maklumat terkini, pelanggan boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor untuk status serta maklumat terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Pelanggan juga boleh menghubungi di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-2800919 / 019-2816793 untuk bantuan kecemasan.


Pengarang :