Mohamad Sabu (kanan) bersalaman dengan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Mokhtar Hussain pada Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan pada 1 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kertas Putih Pertahanan dibentang selepas Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Kertas Putih Pertahanan Negara dijangka dibentang di Parlimen selepas Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Kertas Putih Pertahanan itu yang pertama kali dibuat di Malaysia, mengambil contoh beberapa negara lain antaranya Brunei, Australia, Jerman dan New Zealand.

“Sebelum ke Parlimen yang dijangka pada awal Disember, kertas putih itu akan dibentang kepada Kabinet terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau berkata, deraf kertas putih itu mengambil pandangan semua pihak, antaranya ahli akademik.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin ketika ditemui baru-baru ini berkata, kertas putih itu antaranya merangkumi penstrukturan gaji yang kompetitif, elaun dan insentif khas, faedah-faedah perubatan/penjagaan kesihatan serta perkara berkaitan perumahan.

Beliau berkata, ia akan memberi ganjaran bukan sahaja terhadap profesionalisme dan pengalaman warga tentera, malah pengorbanan serta kesusahan yang telah mereka hadapi.

“Selain itu, anggota tentera juga mempunyai peluang untuk mengembangkan kepakaran profesional yang mendalam sepanjang tempoh perkhidmatan mereka melalui gabungan pendidikan, latihan serta program pembangunan diri,” katanya dalam wawancara khas sempena Hari ATM yang ke-86.

Zulkifli berkata, daripada segi perkembangan kerjaya, Kertas Putih Pertahanan itu turut menggariskan proses dan peluang kenaikan pangkat daripada semua cabang serta peringkat yang hendaklah berdasarkan kelayakan/keupayaan profesonal termasuk pengalaman.

“Ia juga turut menyentuh kebajikan veteran ATM dengan penyediaan sokongan penjagaan kesihatan yang lebih baik serta komprehensif, termasuk bantuan dan sokongan kewangan seperti rawatan hemodialisis serta pembelian peralatan pendengaran, konsentrator oksigen, ubat-ubatan dan banyak lagi,” katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata, keperluan pekerjaan dan keperluan sosial warga ATM diberi perhatian dalam kertas putih itu iaitu membantu mereka mencari pekerjaan baharu selepas tamat perkhidmatan dalam angkatan tentera.

Katanya, ia juga akan memastikan keperluan sosial veteran dipelihara dengan baik serta meneruskan usaha menyediakan bantuan berkaitan perumahan, bantuan pendidikan dan kewangan bagi membantu meningkatkan kualiti hidup mereka pada masa akan datang.

– BERNAMA


Pengarang :