AGENSISELANGOR

Kes bekalan air berbau di 29 kawasan pulih

SHAH ALAM, 7 OKT: Kes bekalan air berbau di 29 kawasan kembali pulih setakat jam 6 petang tadi, demikian dilaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya masih meneruskan aktiviti pencucian sistem perpaipan di baki empat kawasan yang berada di penghujung sistem agihan.

Katanya, empat kawasan itu adalah Seri Kembangan, Saujana Puchong, Seksyen 3 Bangi dan Saujana Putra.

“Pihak kami membuat pemantauan berterusan ke atas semua aset dan kolam perkhidmatan serta melaksanakan aktiviti pencucian di sistem agihan dan mengambil segala usaha bagi mempercepatkan pemulihan di kesemua kawasan yang terkesan dengan aduan kes air berbau,” katanya dalam kenyataan petang tadi.

Abdul Raof berkata, Air Selangor komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan namun memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi.

“Kerjasama pelanggan amatlah dihargai dan sila hubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-2800919 / 019-2816793 sekiranya masih lagi mengalami bekalan air berbau.

“Air Selangor turut memohon maaf atas segala kesulitan dan pihaknya akan terus memberikan makluman serta status terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Air Selangor melalui kenyataan media sebelum ini melaporkan menerima sejumlah 1,293 aduan bekalan air berbau di 33 kawasan bermula dari 29 September lalu.


Pengarang :