Mohd Khyril Muhymeen Zambri meraikan gol kedua bagi Selangor pada perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia 2019 antara pasukan Selangor bertemu Perak di Stadium Shah Alam pada 29 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Khai, Ernie yakin Selangor mara ke perlawanan akhir

SHAH ALAM, 26 OKT: Bahang separuh akhir kedua Piala Malaysia membabitkan pertemuan antara Selangor dan Johor Darul Tazim (JDT) yang berlangsung di Stadium Shah Alam, di sini, malam ini begitu dirasai peminat dan penyokong pasukan masing-masing.

Rata-rata penyokong setia bola sepak tempatan menaruh harapan tinggi supaya pasukan kesayangan mereka dapat menampilkan aksi terbaik, sekali gus melangkah ke perlawanan akhir dan mendakap piala berprestij itu pada 2 November ini.

Malah, beberapa artis terkenal tanah air turut tidak ketinggalan memberi ramalan masing-masing ketika dihubungi SelangorKini, sebentar tadi.

Penyanyi yang popular dengan lagu #123, Khai Bahar mengakui sukar meramalkan pasukan mana yang dijangka mara ke perlawanan akhir.

Bagaimanapun katanya, dia memilih juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor yang akan memenangi aksi di gelanggang keramat itu malam ini.

“Walaupun saya anak kelahiran Perlis, tetapi memandangkan saya kini menetap di Selangor, jadi Selangor pastinya pasukan pilihan saya.

“Malah, saya percaya mereka dapat menewaskan JDT dengan 1-0 dalam perlawanan yang dijangka berlangsung sengit,” katanya yang kini sedang dalam penggambaran drama sulung lakonannya, Satukan Rasa.

Nada sama turut dilaungkan pelantun lagu Ku Bersuara, Ernie Zakri yang tanpa berselindung memilih skuad kendalian B Sathianathan akan menundukkan JDT dengan dua gol berbalas satu.

“Sebagai anak jati Selangor, semestinya saya berharap kemenangan berpihak kepada pasukan Red Giants. Mungkin jaringan gol 2-0 atau setidak-tidaknya 2-1,” katanya.

Terdahulu, skuad gergasi merah melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Perak pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, pada 29 September lalu.

Bagaimanapun, pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu, Selangor tewas tipis 1-2 kepada skuad Harimau Selatan yang juga Juara Piala Malaysia 2017.

Aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia malam ini juga menyaksikan Kedah bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang untuk merebut satu lagi slot ke perlawanan akhir.


Pengarang :