AGENDANASIONAL

Khazanah Nasional kekal pemegang saham utama Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Khazanah Nasional Bhd kekal berpengaruh dan menjadi pemegang saham penting dalam struktur baharu syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menjelaskan, kerajaan melalui Khazanah dan Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) kini sedang meneliti empat pelabur strategik untuk membentuk sinergi, demi kelangsungan operasi syarikat penerbangan negara itu bagi jangka masa panjang.

“Penekanan diberi kepada cadangan (pelabur) yang mengambil kira ‘kehematan’ kewangan dan sinergi kepada operasi Malaysia Airlines.

“Bagaimanapun, di bawah perjanjian Non-Disclosure Agreement (perjanjian tanpa pendedahan), kerajaan tidak dapat memberikan dan mendedahkan maklumat yang lebih terperinci berkenaan pelabur-pelabur strategik yang sedang melalui proses ini,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada Datuk Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) yang meminta penjelasan berhubung desas-desus bahawa Jepun berhasrat mengambil alih syarikat penerbangan itu.

Mohamed Azmin berkata, keputusan tentang rakan strategik (pelabur) bagi mengukuhkan kedudukan MAB itu akan dibuat pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Menurutnya semua maklum balas, cadangan dan penelitian pada bulan hadapan akan dibentang dalam mesyuarat lembaga pengarah Khazanah, selaku pemegang saham tunggal Malaysia Airlines.

Jelasnya Ogos lalu, Khazanah dan MAGB telah mempelawa 20 pelabur berpotensi untuk memberikan cadangan dan tawaran bagi MAB.

Langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif penstrukturan semula Malaysia Airlines termasuk Pelan Pemulihan MAS (PPM) 2014 – 2019 untuk memulihkan kedudukan dan prestasi kewangan dan operasi syarikat berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :