AGENDANASIONAL

Khidmat hantar surat merosot setiap tahun

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menyifatkan penggunaan setem masih relevan walaupun pendapatan perkhidmatan surat-menyurat semakin merosot saban tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, walaupun penghantaran surat-menyurat mencatat penurunan, alamat pos di seluruh Malaysia meningkat daripada tujuh juta kepada sembilan juta alamat.

“Ini bermakna Pos Malaysia masih berada di seluruh pelusuk negara untuk menghantar surat-surat. Cabaran kita adalah kos pengendalian dan cara untuk memuaskan kehendak pelanggan.

“Setem masih relevan buat masa ini walaupun dijangka berlaku penurunan dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Ulang Tahun ke-50 Hari Pos Sedunia di Ibu Pejabat Pos Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith yang melancarkan setem ‘Pos Silang’ siri kedua.

Dalam pada itu, Syed Md Najib berkata, jumlah pengeluaran setem pada tahun lepas adalah 650 juta berbanding 1.5 bilion dicatat 10 tahun lalu.

Jelasnya, penurunan lebih daripada 10 peratus setiap tahun itu berpunca daripada penggunaan teknologi terutamanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkhidmatan kurier semakin mendapat tempat sehingga menyumbang pendapatan sehingga 60 peratus walaupun pendapatan surat-menyurat menurun 40 peratus.

“Pos Malaysia adalah organisasi besar, kita ada di seluruh Malaysia, lebih 13,000 lokasi termasuk penghantaran parcel (bungkusan) menerusi kapal terbang dan kapal laut, ditambah dengan 7,000 kakitangan yang berdedikasi untuk menghantar bungkusan dan surat-menyurat.

“Pusat pemprosesan bungkusan pula sebanyak 500,000 bungkusan sehari, jadi kecekapan perlu ditingkatkan dengan teknologi yang ada dan perkhidmatan yang perlu ditambah baik agar pelanggan terus mempercayai perkhidmatan diberikan,” katanya.

Sementara itu, Eddin Syazlee berkata, kementerian sentiasa terbuka untuk berbincang mengenai penambahbaikan perkhidmatan kurier dan surat-menyurat Pos Malaysia agar lebih berdaya saing.

Beliau berkata, kurier Pos Malaysia tidak akan terjejas namun masih perlu penambahbaikan dilakukan supaya setanding perkhidmatannya dengan syarikat kurier lain.

“Saya tidak lihat kewujudan kurier lain menjadi ancaman kepada Pos Malaysia sebab Pos Malaysia adalah satu perkhidmatan yang didukung oleh kerajaan.

“Pada waktu ini, kita berpuas hati dengan ‘framework’ yang digunakan oleh Pos Malaysia tetapi untuk industri, kita perlu menambahbaik. Kita akan melihat perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, ulang tahun Hari Pos Sedunia disambut meriah dengan kehadiran lebih 100 posmen dan kakitangan Pos Malaysia.

“Peranan yang diambil Pos Malaysia ini dijalankan dengan begitu baik sekali dan saya berharap organisasi ini akan terus kekal melaksanakan tanggungjawab lebih efektif.

“Kita juga berterima kasih kepada kakitangan Pos Malaysia walaupun banyak isu timbul mengenai gaji dan sebagainya, mereka tetap terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia,” kata Eddin Syazlee.

– BERNAMA


Pengarang :