Dato’ Haris Kasim (tiga, kanan) bersama Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N (tengah) melawat ke ruangan pameran ketika Majlis Penutupan Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah MBSA 2019 di Dewan Banquet MBSA, Shah Alam pada 2 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Kitar semula MBSA pupuk kesedaran generasi muda

SHAH ALAM, 2 OKT: Kempen Kitar Semula peringkat sekolah anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi galakan kepada masyarakat khususnya pelajar untuk menerapkan amalan kitar semula.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim berkata, kempen yang memasuki kali ke-13 itu juga bertujuan memupuk kesedaran menjaga alam sekitar demi generasi akan datang.

Katanya, beliau berterima kasih kepada Fraser & Neave Holdings Bhd dan Syarikat Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd kerana tidak berputus asa memberikan kerjasama, sekali gus menaja kempen berkenaan sejak dilancarkan pada 2007.

“Kempen ini untuk mendidik masyarakat terutama pelajar dan golongan muda terhadap kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, kempen ini juga adalah salah satu usaha menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030 dan optimis penurunan penghasilan karbon sebanyak 45 peratus pada tahun itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Penutup Kempen Kitar Semula peringkat Sekolah 2019 anjuran MBSA di Dewan Bankuet MBSA, di sini hari ini.

Pada masa sama, Haris optimis kanak-kanak, pelajar dan guru serta komuniti setempat dapat bergandingan bersama MBSA untuk memastikan sasaran itu mencapat matlamatnya.

Katanya, kempen kitar itu semula membabitkan pertandingan pengumpulan bahan kitar semula dari tiga kategori iaitu enam pra sekolah, 26 sekolah rendah dan 18 sekolah menengah di sekitar Shah Alam.

“Pada tahun ini, pertandingan ini berjaya mengumpul kutipan barangan kitar semula sebanyak 190,367.99 kilogram (kg) berbanding 175,161kg pada tahun lalu dan mengumpul 1,525 unit kutipan sisa e-buangan (elektrik dan elektronik),” katanya.


Pengarang :