Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM tubuh pasukan khas siasat kebocoran maklumat pesakit

SHAH ALAM, 10 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dan mengenal pasti punca pendedahan maklumat pesakit selepas menerima satu laporan mengenainya yang diterbitkan Syarikat Greenbone Networks pada 16 September lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan selain mendapatkan bantuan teknikal daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Katanya, pasukan khas telah menghubungi dan mengadakan perbincangan dengan organisasi swasta berkaitan bagi memperkukuh serta mempertingkatkan tahap keselamatan sistem terbabit di organisasi berkenaan.

“Merujuk kepada kandungan laporan itu, punca risiko pendedahan maklumat pesakit berlaku apabila sistem pengimejan radiologi boleh diakses melalui internet tanpa ciri keselamatan.

“Hasil siasatan mendapati tiga sistem yang dilaporkan Greenbone Networks menghadapi risiko pendedahan maklumat terbabit adalah milik sebuah organisasi swasta tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Dzulkefly berkata, KKM juga telah mengambil inisiatif dan tindakan segera bagi memastikan maklumat di semua fasiliti kesihatan kerajaan sentiasa dilindungi daripada risiko pendedahan maklumat pesakit.


Pengarang :