AGENDANASIONAL

KKMM pastikan lebih ramai B40 terima dekoder percuma

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang berusaha memastikan lebih ramai golongan isi rumah berpendapatan rendah B40, menerima set dekoder siaran televisyen digital secara percuma.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya masih berbincang dengan syarikat pengedar dekoder tersebut serta mengumpulkan maklumat, untuk menentukan individu yang layak menerimanya.

“Memang kami menerima aduan ada yang terpaksa membeli (dekoder) namun untuk makluman, proses penelitian mereka yang layak ini melibatkan seluruh negara dan melibatkan pelbagai masalah. Jadi, prosesnya akan mengambil masa yang panjang.

“Namun kami komited untuk menyelesaikannya, termasuk berusaha memastikan golongan tersebut menerima manfaat selepas peralihan sistem analog ke digital,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu tindakan kerajaan untuk memastikan lebih ramai golongan B40 menerima dekoder tersebut secara percuma.

Siaran televisyen tempatan termasuk TV1, TV2 dan TV3 akan beralih daripada teknologi analog kepada digital secara berperingkat.

Sehingga April lepas, sebanyak 1.6 juta unit dekoder percuma telah diedarkan kepada penerima yang layak, terutamanya penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Mengenai tindakan penjualan dekoder tanpa lesen, Gobind memberi jaminan kementeriannya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Kami anggap (penjualan dekoder secara haram) tidak adil kepada syarikat yang melabur pada kos yang tinggi bagi mendapatkan lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP),” katanya.

Menjawab soalan asal Mohd Shahar yang ingin tahu mengenai perkembangan terkini syarikat-syarikat yang telah diberikan lesen CASP oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Gobind menjelaskan terdapat 54 buah syarikat yang telah dianugerahkan lesen tersebut.

Katanya, lesen tersebut diberikan untuk menjalankan perkhidmatan aplikasi kandungan seperti penyiaran TV secara digital, protokol Internet mahupun satelit dan radio terestrial.

– BERNAMA


Pengarang :