AGENDANASIONAL

KL dilanda banjir kilat, tanah runtuh dan pokok tumbang

KUALA LUMPUR,14 OKT: Beberapa kawasan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat, selain kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang susulan hujan lebat petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan antara kawasan yang dilanda banjir kilat ialah Kampung Segambut Dalam, Kampung Sungai Penchala dan kawasan Pasar Seni menghala ke Brickfields.

Turut dilaporkan ialah kejadian tanah runtuh berkeluasan 12 meter persegi di Institut Latihan Kemas, Jalan Syed Putra berikutan tembok runtuh sepanjang 10 meter.

Dalam pada itu, enam kejadian pokok tumbang dilaporkan di Jalan Segambut, Taman Sejahtera, Taman Sri Delima, Taman Sri Segambut, Taman Niaga Waris dan di Stesen Minyak Shell, Taman Desa di sini.

Tiada kecederaan dilaporkan.

– BERNAMA


Pengarang :