Rodziah Ismail bergambar bersama usahawan yang menerima sijil ketika Majlis Graduasi Program Transformasi Kewangan Usahawan Selangor di MITEC Kuala Lumpur pada 12 Oktober 2019.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Kolaborasi AIBIM-Hijrah Selangor bantu usahawan

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Gandingan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Hijrah Selangor dilihat satu program yang positif bagi membantu usahawan mendapatkan pinjaman perniagaan mereka.

EXCO Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, gandingan itu supaya usahawan di Selangor khususnya dapat memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi.

Katanya, kerjasama itu membabitkan gabungan 26 institusi perbankan Islam dan ia adalah inisiatif dibawah Invest Selangor yang memulakan usaha terbabit.

“Kolaborasi itu menunjukkan bahawa potensi bagi peminjam Hijrah Selangor untuk melakukan pinjaman dengan jumlah yang lebih besar akan lebih cerah.

“Ramai dalam kalangan peminjam saya lihat mereka berasakan masuk ke dalam program ini dengan hanya pinjaman kecil-kecilan sudah memadai.

“Walhal apabila mereka menceburi program ini sebenarnya potensi untuk mengembangkan perniagaan amat besar sekali gus memudahkan kita membuat pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Graduasi Program Transformasi Kewangan Usahawan Selangor di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam.

Pada masa sama, Rodziah optimis peminjam tidak hanya bergantung semata-mata dengan Hijrah Selangor sebaliknya cuba berusaha merebut peluang yang ada.

Katanya, beliau kagum dengan insiatif Hijrah Selangor yang bukan sahaja menyediakan pinjaman seperti sebelum ini namun turut memberikan bimbingan usahawan ke arah meningkatkan pendapatan mereka ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, mengulas berkenaan Pembentangan Belanjawan Persekutuan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Rodziah menyifatkan ia komprehensif dan matang.

“Perkara besarnya adalah meransang ekonomi dan sudah tentu ransangan ekonomi itu menjurus kepada melahirkan ramai usahawan.

“Malah, usahawan luar bandar juga kita meletakkan hasrat dan memberi penumpuan kepada mereka supaya ia boleh ditingkatkan dan dibantu,” katanya.


Pengarang :