AGENDANASIONAL

Komik propaganda: Polis rujuk pakar sejarah semak fakta

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Polis akan mendapatkan bantuan pakar sejarah bagi mengenal pasti kesahihan fakta dalam kes berkaitan penerbitan komik yang didakwa berunsur propaganda.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, beberapa pakar sejarah sudah dikenal pasti bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.

“Kepakaran mereka akan digunakan untuk mengetahui kesahihan fakta dalam komik itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Huzir berkata, sehingga hari ini, polis menerima 46 laporan berhubung penerbitan dan pengedaran komik yang bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ itu.

Beliau berkata, lima individu telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk bekas ahli DAP, Dr Hew Kuan Yau dan pelukis komik berkenaan yang dikenali sebagai Tomato serta dua individu daripada syarikat percetakan komik itu di Shah Alam.

“Kami juga telah menghantar permohonan semakan ke Kementerian Dalam Negeri dan Perpustakaan Negara bagi membantu siasatan dalam kebenaran percetakan dan nama tajuk buku itu,” katanya.

Pada 18 Oktober, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan laporan awal oleh bahagian keselamatan kementerian itu mendapati terdapat perkara yang tidak betul dalam komik berkenaan, sekali gus wajar untuk dikenakan tindakan tegas terhadap mereka yang menerbit serta mengedarkan komik itu.

Baru-baru ini, media melaporkan komik itu dipercayai diedarkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

Sementara itu, empat individu berkaitan selesai memberi keterangan di Bukit Aman petang ini bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan polis mengambil keterangan mereka bermula pukul 2 petang dan berakhir sekitar 5 petang.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan sebagai berkata, polis telah mengambil keterangan pelukis komik tersebut Jumaat lepas.

– BERNAMA


Pengarang :