PBTSELANGOR

Konvoi Jelajah dan Hari Terbuka MPP peluang MBSA dekati masyarakat

SHAH ALAM, 14 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Program Konvoi Jelajah MPP Dan Hari Terbuka Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) MBSA sempena sambutan Hari Bandar Raya Shah Alam Ke-19 pada 12 Oktober lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, penganjurannya menjadi landasan menyantuni masyarakat selain membolehkan mereka mengetahui dengan lebih mendalam fungsi serta peranan MBSA.

“Program ini juga dilihat sebagai inisiatif bagi memperkenalkan Ahli-Ahli Majlis kawasan yang dilantik di setiap zon bagi memperkukuhkan fungsi dan peranan pihak MBSA.

“MBSA juga turut membuka reruai pameran dengan penglibatan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) MPP serta komuniti setempat bagi menarik penyertaan orang ramai.

“Antara pameran yang diadakan adalah Projek Mini Zee Bee dan Kitar Semula Bahan Buangan,” katanya dalam kenyataan.

Majlis perasmian disempurkan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim di tiga lokasi berbeza iaitu di Dewan MBSA Seri Pagi Kampung Paya Jaras, Seksyen U19 bagi Zon Utara; Kebun Komuniti 24 Setia, Seksyen 24 (Zon Tengah) manakala Zon Selatan berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Kota Kemuning, Seksyen 31.

Di samping itu, MBSA turut menyediakan Kaunter Inisiatif Peduli Rakyat seperti, bayaran cukai taksiran, pemeriksaan jaringan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

Shahrin berkata, sempena program berkenaan, MBSA turut menghulurkan bantuan sempena Deepavali kepada beberapa keluarga kaum India di sekitar Shah Alam.

Katanya, sumbangan berbentuk barangan keperluan harian bernilai RM150 dan wang tunai sebanyak RM100 diberikan kepada setiap keluarga.

“MPP Shah Alam telah mengenalpasti seramai 120 penerima sumbangan terdiri daripada kaum India beragama Hindu di Shah Alam yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah, layak menerima sumbangan perayaan Deepavali mengikut kriteria yang ditetapkan seperti golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas yang tidak berkemampuan serta Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Diharapkan dengan bantuan dihulurkan ini dapat meringankan beban mereka membuat persediaan menyambut perayaan Deepavali,” katanya.


Pengarang :