AGENDANASIONAL

KPKT-MoF bincang harga kondominium untuk warga asing

PONTIAN, 13 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung cadangan menurunkan had harga kondominium dan pangsapuri di bandar yang boleh dibeli warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata ia bagi mengkaji semula cadangan tersebut memandangkan terdapat suara rakyat yang tidak bersetuju dengan had penurunan berkenaan.

“Saya akan rujuk balik dengan Kementerian Kewangan sekiranya perlu dikaji semula. Mungkin melihat respons rakyat harus diberi pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, di sini, hari ini.

Menurut Zuraida, ramai yang tidak jelas mengenai cadangan berkenaan dengan beranggapan ia dikeluarkan KPKT sedangkan ia di bawah Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, KPKT kini lebih menumpukan usaha mempromosikan Malaysia My Second Home (MM2H) dengan menyediakan pakej menarik bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan rancangan itu bagi membantu mengurangkan lambakan unit kondominium dan pangsapuri sedia ada yang tidak terjual berjumlah RM8.3 bilion pada suku 2019.

Beliau menjelaskan pengurangan itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020 dan tidak merangkumi projek baharu yang belum dilancarkan.

– BERNAMA


Pengarang :