AGENDANASIONAL

KPM cari penyelesaian terbaik isu protes siswa UM

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) masih dalam proses untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu protes seorang siswa ketika istiadat konvokesyen Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, pihaknya masih mencari platform yang sesuai untuk melibatkan dua-dua pihak berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu.

“Kami masih dalam proses untuk libatkan (kedua-dua pihak) untuk selesaikan masalah ini, kita perlu kedua-dua belah pihak untuk terlibat dan tidak radang,” katanya pada Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah 2019 di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, hari ini.

Program yang memasuki tahun ketiga penganjuran tahun ini menyasar untuk mengagihkan 30,000 pek ‘Kembali ke Sekolah’ yang dilengkapi pakaian dan kasut sekolah di seluruh Malaysia.

Pada Isnin lalu, seorang graduan berusia 23 tahun membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM bagi mendesak naib canselor universiti itu meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’; dan ‘Ini Tanah Malaysia’ selepas menerima ijazahnya.

Tindakan itu mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak beradap.

Mengulas pertanyaan pemberita mengenai pendirian beliau sama ada bersetuju dengan tindakan universiti itu menahan sijil pelajar itu Teo berkata secara peribadi, beliau tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :