AGENDA NASIONAL

KPN: Jangan ungkit yang lama, cipta kejayaan baharu

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya tidak mengungkit kejayaan anggota terdahulu sebagai alasan untuk terus diberi layanan baik oleh kerajaan, sebaliknya perlu menunjukkan kejayaan baharu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kesalahan rasuah, termasuk salah laku polis yang berleluasa kini, mengaburi kejayaan anggota terdahulu dalam menjaga keamanan negara.

“Kita selama ini banyak berusaha mengaburi masyarakat dan melaungkan slogan bahawa negara terlalu banyak terhutang budi kepada PDRM dengan kejayaan terdahulu pasukan keselamatan itu, dan paling menyedihkan, mengguna sejarah itu bagi mendesak kerajaan supaya polis diberikan layanan baik yang sepatutnya.

“Kita harus berani akui banyak kesilapan dilakukan polis kini dan menjadi tugas kita untuk mencipta kejayaan baharu.

“Sejarah kejayaan anggota terdahulu tertinta dengan emas dalam rekod negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sijil tamat kursus bagi Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan, Diploma Siswazah Sains Kepolisan dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan Sesi 2017/2019 di Maktab PDRM, Cheras hari ini.

Abdul Hamid turut mengingatkan supaya anggota PDRM tidak mensia-siakan pengorbanan anggota terdahulu.

“Janganlah keharmonian negara kini gagal dikekalkan akibat generasi sekarang yang mensia-siakan segalanya termasuk berfoya-foya dan melakukan pelbagai kesalahan yang boleh merosakkan imej PDRM,” katanya.

Turut hadir dalam majlis penyampaian sijil tamat kursus itu Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor.

Dalam majlis berkenaan, seramai 100 pegawai polis, pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia menerima sijil tamat kursus bagi Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan, Diploma Siswazah Sains Kepolisan dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan Sesi 2017/2019.

-BERNAMA


Pengarang :