AGENSISELANGOR

Kubah Masjid Biru tarikan pelancong ke Selangor

SHAH ALAM, 15 OKT: Keunikan Kubah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau lebih dikenali sebagai Masjid Negeri melonjakkan kedatangan pelancong dalam dan luar negara.

Sukarelawan pemandu pelancong Masjid Negeri Selangor, Mokhtar Mohayat berkata, kubah biru itu memancarkan cahaya kebiru-biruan pada waktu malam sekali gus, mendapat jolokan Masjid Biru.

“Itulah yang menjadi rahsia tarikan puluhan ribu pelancong ke rumah ibadat berkenaan setiap tahun. Kubah masjid ini menjadi simbol keagungan masyarakat Islam di negeri ini yang dicatatkan antara terbesar di dunia.

 

“Bahagian luarnya diperbuat daripada kepingan aluminium berlipat dan mempunyai panel berwarna biru berjalur putih serta bercorak tradisional yang dikelilingi kaligrafi ayat suci al-Quran,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui pada program Media FAM Trip anjuran Tourism Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Kubah besar itu mempunyai ukuran garis pusat 52 meter dan tinggi 107 meter dari aras tanah disokong lapan tiang berbentuk segi empat.

Di samping itu, empat menara tinggi yang dibina di sekeliling kubah menambah daya tarikannya.

“Berkeluasan 140 hektar, bangunan masjid itu didirikan di atas tanah 40 hektar mempunyai banyak tarikan lain hasil kombinasi reka bentuk tradisi Islam dan Asia Barat, India, barat dan ciri-ciri binaan Melayu asli.

“Antaranya dapat dilihat seperti mimbar kayu yang mempunyai ukiran ilham daripada masjid lama, mihrab diperbuat daripada marmar dan jubin serta disempurnakan dengan tulisan ayat suci al-Quran,” katanya.

Mokhtar berkata, siling masjid terdiri daripada panel yang membentuk segi tiga diperbuat menggunakan kayu yang diselang-seli membentuk satu corak unik.

Ia diterangi bebola lampu kecil menghasilkan gambaran langit yang disinari bintang bertaburan.

Empat lampu chandelier menambah lagi seri dewan solat utama yang mampu memuatkan lebih 15,000 jemaah pada satu-satu masa.

“Tulisan khat dapat dilihat dalam (bersadur emas) dan luar kubah serta beberapa bahagian di dewan solat utama yang dihasil oleh penulis khat terkenal Arab Saudi, Sheikh Abdel Moneim Mohamed Ali El-Sharkawi dan dibantu penulis khat tempatan,” katanya.

Masjid Negeri menjadi pilihan pelancong luar negara terutamanya dari negara Jepun selain Taiwan dan Thailand.

Mohktar berkata, seramai 35,700 pengunjung mengunjungi rumah ibadat itu tahun lepas dan setakat Oktober tahun ini, kedatangan pelancong itu meningkat 40 peratus.

“Pelancong Jepun merupakan paling ramai ke masjid ini setiap tahun dan pihak masjid mensasarkan kedatangan pengunjung keseluruhan iaitu 50,000 orang tahun ini,” katanya.


Pengarang :