AGENDANASIONAL

Landasan `Runway 3′ KLIA dibaiki esok

SEPANG, 1 OKT: Landasan Runway 3 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini akan menjalani proses pembaikan bermula esok, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin.

Dalam satu kenyataan hari ini katanya, sebagaimana yang diumumkan pada bulan September tahun lepas, kerja-kerja pembaikan akan dibuat mengikut perancangan yang telah diperjelaskan dalam Pelan Induk Kelangsungan Landasan lapangan terbang itu.

Beliau berkata, Runway 3 akan mengikut kombinasi separa dan sebelah malam, bagi tempoh sembilan bulan setengah akan datang sehingga 15 Julai, 2020.

“Pasukan kami telah mengambil semua langkah yang perlu untuk memaklumkan semua pihak yang terlibat sebelum ini khususnya rakan-rakan syarikat penerbangan bagi memastikan perjalanan para penumpang berjalan lancar sepanjang kerja-kerja pembaikan dijalankan, di samping memastikan operasi dan pengurusan syarikat-syarikat penerbangan tidak terjejas,” katanya.

Katanya, aktiviti pembaikan itu melibatkan penurapan permukaan landasan untuk mengatasi masalah pada masa hadapan seperti kekasaran penurapan lapangan terbang yang dikesan menerusi analisis Indeks Boeing Bump yang dilakukan tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :