AGENDANASIONAL

Laporan Audit: Wang Awam 2018 tertinggi berbanding 4 tahun sebelumnya

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Wang Awam meningkat 25.4 peratus atau RM10.726 bilion kepada RM52.910 bilion pada akhir 2018, berbanding RM42.184 bilion pada 2017, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018: Penyata Kewangan kerajaan Persekutuan.

Menurut laporan itu, jumlah wang awam yang terdiri daripada wang tunai dan pelaburan, pada akhir 2018 adalah jumlah tertinggi berbanding empat tahun sebelumnya.

“Wang tunai yang terdiri daripada wang tunai dalam bank, wang tunai dalam perjalanan dan wang tunai dalam tangan yang masing-masing merekodkan RM22.213 bilion, RM1.432 bilion dan RM2.87 juta, pada 2018.

“Bagi nilai buku pelaburan pula, nilainya meningkat RM5.142 bilion atau 21.3 peratus kepada RM29.262 bilion pada 2018, berbanding RM24.120 bilion pada 2017,” menurut laporan itu.

Bagi akaun hasil disatukan, hasil Kerajaan Persekutuan sebanyak RM232.883 bilion, manakala perbelanjaan mengurus berjumlah RM230.960 bilion.

“Kerajaan Persekutuan mempunyai lebihan hasil berjumlah RM1.922 bilion, dan kesemua lebihan hasil tahun semasa ini telah dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan.

“Baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan kekal sebanyak RM11.863 bilion sejak 1996,” menurut laporan itu.

Menurut laporan tersebut, hasil Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM232.883 bilion, terdiri daripada hasil cukai, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil dan hasil Wilayah Persekutuan.

“Jumlah itu meningkat sebanyak RM12.476 bilion atau 5.7 peratus berbanding 2017, yang berjumlah RM220.406 bilion.

“Sumber utama hasil Kerajaan ialah hasil cukai, dengan hasil cukai pada 2018 menunjukkan penurunan RM3.598 bilion atau 2.0 peratus berbanding 2017, disebabkan oleh pengenaan Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar (0 peratus) bagi tempoh Jun hingga Ogos 2018 serta pemansuhan GST berkuat kuasa pada September 2018,” katanya.

Sementara itu, perbelanjaan mengurus pada 2018 berjumlah RM230.960 bilion atau 99.4 peratus, berbanding RM217.695 bilion pada 2017.

Katanya, antara perbelanjaan tertinggi ialah pemberian dan kenaan bayaran tetap berjumlah RM114.144 bilion atau 49.4 peratus dan emolumen berjumlah RM79.989 bilion atau 34.6 peratus, manakala perbelanjaan terendah ialah perolehan aset berjumlah RM0.447 bilion atau 0.2 peratus.

Menurut laporan itu, baki terkumpul Akaun Pinjaman Disatukan sebanyak RM15.224 bilion, dan jumlah ini berkurangan RM18.258 bilion atau 54.5 peratus berbanding 2017 yang berjumlah RM33.482 bilion.

Selain itu, baki Akaun Amanah Disatukan meningkat kepada RM25.823 bilion berbanding baki negatif RM3.161 bilion pada akhir 2017, disebabkan oleh peningkatan baki Kumpulan Wang Amanah Kerajaan daripada negatif RM23.541 bilion pada akhir 2017 kepada RM3.752 bilion pada akhir 2018.

“Hal ini berlaku apabila Kerajaan memutuskan untuk membuat pindahan sejumlah RM72.365 bilion dari Akaun Pinjaman Disatukan ke Kumpulan Wang Pembangunan iaitu salah satu akaun di bawah Kumpulan Wang Amanah Kerajaan berbanding hanya sejumlah RM27.232 bilion pada 2017,” katanya.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa hutang Persekutuan meningkat kepada RM54.212 bilion atau 7.9 peratus kepada RM741.049 bilion pada 2018, berbanding 2017 yang berjumlah RM686.837 bilion.

“Peningkatan ini disebabkan pada tahun 2018, Kerajaan telah membuat pinjaman baharu berjumlah RM131.599 bilion, yang merangkumi RM69.111 bilion (52.5 peratus) dibuat oleh Pentadbiran terdahulu manakala RM62.488 bilion (47.5 peratus) dibuat oleh Pentadbiran semasa.

“Sejumlah RM77.492 bilion (58.9 peratus) daripada RM131.599 bilion tersebut digunakan bagi bayaran balik pinjaman yang matang,” katanya.

Bagi kedudukan hutang Persekutuan yang terdiri daripada hutang dalam negeri, berjumlah RM719.545 bilion atau 97.1 peratus dan hutang luar negeri berjumlah RM21.504 bilion atau 2.9 peratus.

Menurut laporan itu lagi, Kerajaan melaporkan kedudukan komitmen kewangan Kerajaan berjumlah RM242.969 bilion pada 2018, iaitu meningkat M28.699 bilion atau 13.4 peratus berbanding RM214.269 bilion pada 2017.

– BERNAMA


Pengarang :