EXCO perumahan, Haniza Talha mendengar taklimat daripada wakil pemaju perumahan pada Majlis Perasmian Pameran Hartanah Negeri Selangor di Setia City Mall, Setia Alam pada 19 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
EXCOSELANGOR

Lebih 120,000 unit Rumah Selangorku diluluskan setakat September

SHAH ALAM, 19 OKT: Sebanyak 121,676 unit Rumah Selangorku membabitkan 274 projek diluluskan Kerajaan Negeri sejak 1 Januari 2014 hingga 30 September 2019.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata daripada jumlah itu, 4,532 unit membabitkan sembilan projek disiapkan dan berjaya diserahkan kepada pembeli.

“Sebanyak 37,036 unit iaitu 30 peratus dengan 99 projek Rumah Selangorku yang diluluskan sudah mula dibangunkan di tapak masing-masing.

“Kerajaan Negeri menyasarkan 30,000 unit disiapkan dalam tempoh 2019 hingga 2023 dan sehingga 30 September sebanyak 15 peratus daripada sasaran itu berjaya dicapai membabitkan 4,532 unit yang kuncinya sudah pun diserahkan kepada pembeli,” katanya.

Haniza berkata demikian dalam sidang media sempena Pameran Hartanah Negeri Selangor 2019 di Setia City Mall, Setia Alam di sini hari ini.

Katanya, ketika ini terdapat 7,569 unit membabitkan 12 projek iaitu 25 peratus daripada sasaran sama masih dalam proses mendapatkan kelulusan pembangunan.

Pameran itu membabitkan 16 syarikat pemaju perumahan antaranya PKNS, SP Setia, Sime Darby Properties dan Ecoworld.

Pameran bermula dari 10 pagi hingga 9 malam itu bertujuan mempromosikan Rumah Selangorku melalui aktiviti penawaran terbuka yang akan dibuat sehingga 21 Oktober ini.


Pengarang :