Pengguna jalan raya meredah banjir di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 1,900 mangsa banjir di pusat pemindahan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Musim tengkujuh yang melanda negara mengakibatkan sawah seluas 80 hektar yang baharu ditabur benih padi, rosak selain 1,954 mangsa banjir daripada 567 keluarga dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di lima negeri setakat pukul 4.00 petang ini.

Kemusnahan sawah di Kampung Matang Merbau, Bagan Serai, Perak berkenaan mengakibatkan kira-kira 20 pesawah di kawasan itu mengalami kerugian dan turut berharap kerajaan memberikan bantuan benih padi kepada mereka.

Masalah itu dipercayai berpunca daripada hujan hampir setiap hari menyebabkan air dari sistem perparitan tidak dapat mengalir keluar sekaligus bertakung di kawasan sawah.

Sementara itu, menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bilangan mangsa banjir di PPS setakat 4.00 petang ini sedikit menurun kepada 1,954 mangsa daripada 567 keluarga berbanding 1,974 mangsa daripada 559 keluarga pada 12 tengah hari.

Laporan itu turut memaklumkan bilangan mangsa banjir di Johor menurun daripada 595 mangsa daripada 142 keluarga, kepada 478 mangsa daripada 116 keluarga.

Sebuah PPS di Johor Bahru iaitu Balai Raya Kangkar Tebrau ditutup pada 3.50 petang, manakala sembilan lagi PPS masih beroperasi di negeri itu.

Bilangan mangsa banjir di Seberang Perai, Pulau Pinang turut menurun kepada 88 orang daripada 25 keluarga, berbanding 124 orang daripada 32 keluarga, dengan sebuah PPS di Masjid Tasek Junjong ditutup pada pukul 3.00 petang.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Selangor dan Perak masing-masing sedikit meningkat kepada 826 orang daripada 265 keluarga dan 501 orang daripada 122 keluarga.

Bilangan mangsa banjir di Kedah pula kekal 61 orang daripada 39 keluarga.

Dalam pada itu, Nadma turut melaporkan amaran ribut petir di Kedah, Perak dan Selangor (Kuala Selangor) sehingga 6.00 petang, serta di Pulau Pinang sehingga 7.00 petang.

-BERNAMA


Pengarang :