AGENDANASIONAL

Lebih 38,000 daftar sebagai pengundi pada suku ketiga 2019

PUTRAJAYA, 29 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 38,895 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak sepanjang suku ketiga tahun ini, kata Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun.

Dalam tempoh itu juga, sebanyak 14,165 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya diterima daripada pemilih berdaftar, katanya.

Selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku ketiga 2019 (ST3/2019) akan dipamerkan selama 14 hari mulai esok hingga 12 November ini di 917 tempat pameran di seluruh negara.

“Pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Julai 2019 hingga 30 September 2019 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka.

“Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam RDPT ST3/2019, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi pemilih berdaftar di mana-mana bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama individu di dalam RDPT ST3/2019, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C, katanya.

“Tuntutan atau bantahan hendaklah dikemukakan kepada pendaftar pemilih (pengarah pilihan raya negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan,” katanya.

Semasa tempoh pameran itu, Azhar berkata, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih bagi mereka yang meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan.

Bagi pegawai dan anggota polis dan tentera yang telah tamat perkhidmatan pula, Azhar berkata, SPR bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengemas kini maklumat lokaliti pengundian mereka.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST3/2019, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui talian 03-8892 7018 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri atau melayari portal SPR di www.spr.gov.my dan aplikasi telefon pintar MySPR Semak.

– BERNAMA


Pengarang :