AGENDANASIONAL

LTAT: Keuntungan bersih rendah dorong dividen rendah berbanding tahun sebelumnya

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Pemberian dividen serendah dua peratus oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi tahun kewangan 2018 disebabkan keuntungan bersih pada 2018 sebanyak RM221 juta walaupun pendapatan kasar mencecah RM423 juta.

Dalam kenyataan, LTAT berkata, keuntungan bersih yang rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan faktor-faktor termasuk pendapatan LTAT pada 2016 dan 2017 mengambil kira penjualan tanah yang masih belum selesai tetapi keuntungan sebanyak RM441 juta telah diambil kira.

“Hasil belum masuk, akan tetapi pengurusan LTAT di bawah pengurusan ketua eksekutif sebelum ini, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin sudah mengisytiharkan keuntungan dan membayar dividen secara berlebihan sebanyak RM556 juta pada 2016 dan 2017.

“Keuntungan terkumpul dari 2015 sebanyak RM384 juta akhirnya merosot dan menjadi kerugian terkumpul RM170 juta pada 2017,” katanya.

Beliau berkata, kerugian pelaburan LTAT dalam syarikat Buroi Mining Sdn Bhd sebanyak RM55 juta sepatutnya diambil kira pada 2015, tetapi pihak yang sepatutnya membuat pembayaran telah bankrap.

Justeru, katanya, dividen yang mampu dibayar LTAT hanyalah sebanyak dua peratus bersamaan dengan RM161.2 juta.

Mengenai bayaran dividen yang belum diterima daripada anak syarikat LTAT, katanya, anak-anak syarikat LTAT iaitu Pernama, PPHM dan Power Cable Sdn Bhd mengisytiharkan dividen yang tinggi pada 2017 tetapi sebenarnya tidak mempunyai kemampuan untuk membayar.

“Tindakan ini telah menyebabkan LTAT membayar dividen yang tinggi kepada pencarum. LTAT sepatutnya tidak boleh membuat pembayaran sekiranya tiada pulangan daripada anak-anak syarikat,” katanya.

Katanya, pengurusan baharu LTAT akan menyelesaikan masalah itu dengan melakukan semakan terhadap kedudukan sebenar kewangannya dan segala hutang yang tertunggak, perlu ditolak dan diambil kira dalam laporan kewangan LTAT pada 2018.

“Perkara ini perlu dilakukan agar LTAT dapat memperbetulkan keadaan dan laporan kewangannya akan menggambarkan keuntungan sebenar,” katanya.

Katanya, LTAT juga telah memulakan pelan transformasi yang terdiri daripada enam teras utama – visi dan misi baharu LTAT, memperkukuhkan tadbir urus korporat, memperbaiki pengurusan pemegang berkepentingan strategik LTAT, terutamanya para perajurit, meningkatkan pulangan pelaburan yang mampan, memperbaiki pengurusan infrastruktur dan pembangunan modal insan.

– BERNAMA


Pengarang :