AGENDANASIONAL

LTTE: Anwar setuju polis guna SOSMA, tapi perlu ditambah baik

BUKIT MERTAJAM, 13 OKT: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA) dalam menangani isu keganasan termasuk penahanan beberapa pemimpin berkaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Namun, katanya, beberapa perkara dan bahagian tertentu dalam SOSMA harus dipinda serta ditambah baik demi kepentingan semua pihak kerana peruntukan undang-undang itu terlalu keras.

“Kami telah menentang akta ini sejak awal namun sebenarnya jika ia berkaitan dengan keganasan saya menyokong tindakan polis menggunakan SOSMA, ia tidak terhad kepada tindakan terhadap LTTE tetapi semua yang membabitkan keganasan.

“Ini yang orang bangkitkan sekarang terhadap KEADILAN (mengapa KEADILAN tidak bantah guna SOSMA), mana-mana negara sudah pasti akan mengekang isu berkaitan keganasan dan kita juga patut serahkan kepada PDRM untuk mengambil tindakan bagi menangani isu itu di bawah SOSMA, mereka (polis) lebih tahu mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen KEADILAN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang membantah polis menggunakan SOSMA dalam penahanan 12 orang termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerana disyaki mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak, mencari dana dan memiliki item berkaitan LTTE.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menafikan bahawa beberapa bekas ahli KEADILAN turut ditahan berkaitan LTTE sejak minggu lepas.

“Saya tidak menerima sebarang laporan yang ada sekarang atau bekas ahli KEADILAN yang terlibat atau ditangkap oleh Bahagian Keganasan Kaunter (E8) PDRM,” katanya ditanya mengenai khabar angin bahawa empat bekas anggota PKR adalah antara mereka yang ditahan dalam operasi berterusan oleh polis.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir urus Parlimen berkata Belanjawan 2020 kurang memberi fokus kepada industri pertanian sedangkan ia adalah antara industri penting bagi negara.

Menurutnya, industri pertanian juga memerlukan belanjawan khusus supaya ia dapat ditingkatkan kerana setiap tahun negara mengimport RM52 bilion hasil pertanian dari luar.

– BERNAMA


Pengarang :