AGENSI SELANGOR

LZS cari wanita tular berjalan di kaki lima minta sedekah

SHAH ALAM, 22 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedang mencari wanita yang kerap berjalan seorang diri dari Jalan Kebun ke Kampung Jawa meminta sedekah.

Menerusi laman sosial LZS memaklumkan pencarian itu bermula selepas tersebar video dan tular di laman sosial Facebook.

“Skuad Saidina Umar (SSU) dan Operasi Agihan Daerah Klang Zakat Selangor menerima aduan ini dan bertindak segera dengan menjalankan misi mencarinya sejak petang semalam.

“Sehingga lewat malam tadi cuaca hujan, misi masih belum berjaya menemuinya,” katanya.

Penduduk sekitar mengesahkan bahawa wanita itu kerap berada di sekitar kawasan ini merayau tanpa tujuan.

“Dikhabarkan, beliau mengalami tekanan jiwa selepas gagal dalam rumah tangga, suaminya seorang muallaf telah meninggalkannya, manakala anak – anak pula diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk penjagaan.

“Tekanan yang dihadapi semakin teruk kerana beliau tinggal seorang diri dan tidak mahu berjumpa sesiapa pun.

“Kini beliau berjalan tanpa arah tujuan dan tidak diketahui tempat sebenar beliau bermalam,” katanya.

LZS mengesahkan bahawa wanita itu merupakan penerima bantuan dari Zakat Selangor iaitu bantuan kewangan bulanan berjumlah RM300, bantuan hari raya tahunan dan bantuan lain.

“Kami sedang giat berusaha mencarinya kini untuk dibantu sewajarnya.

“Kami jalankan amanah agihan zakat ini sebaiknya. Bantulah kami dalam membantu mustahiq.

“Sekiranya anda terjumpa wanita ini di sekitar Lembah Klang, mohon terus sampaikan maklumat kepada Pegawai kami, di talian 011-20899419 untuk tindakan segera,” katanya.


Pengarang :