PERSONALITIRENCANA

M Chandran permata berharga Selangor, Malaysia

Pemergian pemain legenda, Datuk M Chandran, meninggalkan kesan mendalam terhadap lipatan sejarah bola sepak negara yang pernah mengharungi ranjau suka duka, di era 70an.

Sebagai seorang pemain pertahanan tengah terbaik Asia yang pernah dilahirkan, M Chandran juga seorang jurulatih hebat apabila berjaya memimpin Selangor memenangi beberapa kejuaraan Piala Malaysia.

Menyingkap perjalanan sukan bola sepak anak kelahiran Sungai Siput, Perak itu, beliau memulakan karier bermain dengan Persatuan India Selangor (SIA) sebelum dipanggil beraksi bersama Selangor.

Bermula dari situ, beliau menempa nama sebagai pemain pertahanan tengah kental dan pernah memakai lilitan kapten bersama Selangor selama lima tahun dan Malaysia tiga tahun.

M Chandran membentuk gandingan mantap bersama Dato’ Soh Chin Aun ketika membantu Malaysia layak beraksi di Sukan Olimpik buat kali pertama pada 1972 di Munich, Jerman.

Keampuhan itu dibuktikan apabila gawang Malaysia tidak dibolosi sebarang gol pada aksi kelayakan Olimpik, pada 1971.

Ketika itu, Malaysia adalah sebuah pasukan digeruni di peringkat Asia apabila menang ke atas Korea Selatan (1-0), Jepun (3-0), China (3-0) dan Filipina (5-0), hasil kepimpinan hebat M Chandran.

Aksi di pentas Olimpik menyaksikan Malaysia tewas 3-0 ke atas Jerman walaupun berjaya mengikat tuan rumah tanpa jaringan pada babak pertama.

Bagaimanapun, Malaysia berjaya melakar kemenangan pertama pada perlawanan seterusnya apabila membelasah Amerika Syarikat 3-0 sebelum mengakhiri saingan peringkat kumpulan dengan kekalahan 6-0 di tangan Morocco pada perlawanan terakhir.

Skuad negara ketika itu terdiri daripada Namat Abdullah, M Chandran, Othman Abdullah, Chin Aun, Khoo Huan Khen, Hamzah Hussain, Shahruddin Abdullah, Wan Zawawi Wan Yusof, V Krishnasami, Ibrahim Salleh, Harun Jusoh, Wong Kam Fook, Ali Bakar dan Lim Fung Kee.

Selain aksi di Munich, M Chandran turut memainkan peranan besar dalam pasukan Malaysia yang berjaya memenangi pingat gangsa pada Sukan Asian 1974 di Tehran, Iran.

Salah seorang jurulatih berjaya bersama Selangor dengan beberapa kejuaraan Piala Malaysia, beliau juga pernah membimbing skuad kebangsaan dari tahun 1982 hingga 1988.

Atas sumbangan dan jasa dalam sukan bola sepak, beliau dianugerahkan pangkat Datuk oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Pahang, Almarhum Sultan Ahmad Shah pada tahun 2000 dan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (2010).

M Chandran, 77, yang meninggal dunia pada 28 September 2019 akibat penyakit motor neuron (MND) meninggalkan isteri, Datin A Pushpalatha serta dua anak lelaki berusia 38 dan 36 tahun.


Pengarang :