Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
AGENDAJENAYAH

Majistret direman kes terima rasuah penyeludup rokok

KUANTAN, 23 OKT: Seorang majistret hari ini direman lima hari, bagi membantu siasatan kes menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengenakan hukuman penjara terhadap suspek kes penyeludupan rokok.

Reman bagi Majistret berusia 38 tahun yang bertugas di sebuah mahkamah di negeri Pahang itu, dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Mahkamah Kuantan, di sini, hari ini, bermula hari ini sehingga 27 Oktober depan.

Lelaki yang mengenakan pakaian kemeja berwarna putih itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuantan pada jam 11.20 pagi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuantan, mengesahkan penahanan reman itu.

“Kita memang ada terima maklumat (mengenai rasuah melibatkan Jabatan Kehakiman) dan ini berkemungkinan salah satu daripadanya,” katanya ringkas.

Pada 15 Oktober lalu, SPRM dilaporkan menerima 20 maklumat berhubung rasuah melibatkan Jabatan Kehakiman daripada awal Januari sehingga Ogos tahun ini.

– BERNAMA


Pengarang :