AGENDANASIONAL

Malaysia rugi RM5 bilion setahun akibat nelayan asing

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kerajaan bercadang meningkatkan aset penguatkuasaan laut negara dalam usaha untuk mengawal pencerobohan bot nelayan asing yang menyebabkan Malaysia kehilangan hasil RM5 bilion setahun, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengemukakan perkara itu kepada Kabinet termasuk cadangan untuk memiliki kapal induk bagi memudahkan lagi operasi penguatkuasaan di laut.

“Sebelum ini, kerajaan sendiri telah mengambil tindakan tegas dengan melakukan Operasi Naga dan kita akan teruskan lagi dengan komitmen tiga kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

“Kita mesti bertanggungjawab supaya aset dan penguat kuasa ini ditingkatkan selain nelayan tempatan turut menjadi mata dan telinga kerajaan supaya dapat membanteras nelayan asing daripada memasuki perairan negara ini,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) yang bertanyakan tentang jumlah kerugian negara akibat pencerobohan nelayan asing dan langkah meningkatkan keberkesanan Op Naga.

Terdahulu, Ahmad Amzad turut bertanya sama ada kemunculan paus Orca (paus pembunuh) di perairan Kerteh, Terengganu berhampiran dengan Pelantar Dulang Petronas baru-baru ini mengganggu sumber perikanan negara.

Menjelaskan perkara itu, Salahuddin berkata, kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Terengganu mendapati paus, yang muncul di perairan itu pada 16 Julai lepas, tidak mengancam sumber perikanan negara dan nelayan tempatan kerana migrasi populasi spesies itu tidak kerap.

“Spesies itu merupakan daripada jenis sub spesies Paus Pilot Sirip Pendek dan ia sentiasa bergerak dalam kumpulan populasi antara 10 hingga 50 ekor. Ia dipercayai menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi ekoran musim sotong pada waktu itu,” katanya.

Paus Orca, katanya disenaraikan dalam spesies mamalia akuatik terancam dan dilindungi di bawah penguatkuasaan Seksyen 27 Akta Perikanan Negara 1985 dan seekor daripada spesies berkenaan didapati pernah mati terdampar di Sarawak pada 2013.

-BERNAMA


Pengarang :