Datuk Saifuddin Abdullah (empat, kanan) mengiringi Pesuruhjaya bagi Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet (tiga, kanan) melawat anak-anak Rohingya di Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) di Kajang pada 4 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia terbuka terima lawatan wakil PBB

KAJANG, 4 OKT: Kerajaan Malaysia mengambil pendekatan terbuka dalam menerima sebarang lawatan daripada Pesuruhjaya Tinggi atau Pelapor Khas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, pendekatan terbuka ini berbeza dengan kerajaan terdahulu yang ada kalanya tidak membenarkan wakil daripada PBB datang untuk melihat suasana di dalam negara.

“Kerajaan sekarang tidak ada apa yang mahu ditutup dan sekiranya terdapat kelemahan dalam pentadbiran, kita (kerajaan) sedia perbaiki dan kita memang bersikap terbuka,” katanya selepas mengiringi Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet ke Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) di sini, hari ini.

Bachelet kini dalam lawatan kerja empat hari ke Malaysia bermula semalam, yang juga melakar sejarah apabila menjadi Pesuruhjaya Tinggi pertama PBB melawat Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Bachelet terbuka untuk menemui sesiapa sahaja yang beliau mahu semasa lawatannya di sini dan beliau bebas untuk menulis laporannya tanpa sebarang campur tangan.

“Kami telus dalam cara kami melaksanakan sesuatu, ia sememangnya terpulang kepada mereka (wakil PBB) untuk menulis laporan mereka selepas melakukan lawatan. Mereka mungkin memberi beberapa cadangan dan usul dan kami terbuka dalam hal ini.

“Meskipun kami mungkin mempunyai cara kami yang tersendiri dalam berurusan dengan perkara tertentu tetapi kami mahu menambah baik (keadaan di Malaysia) dan itu yang paling penting,” katanya.

Bachelet juga akan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan P Waytha Moorthy, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan organisasi masyarakat sivil semasa lawatannya di sini.

– BERNAMA


Pengarang :