AGENSISELANGOR

Mangsa banjir di Selangor meningkat 293

SHAH ALAM, 26 OKT: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Permindahan Sementara (PPS) di Kuala Selangor meningkat kepada 293 orang setakat 8 pagi ini daripada 133 pada malam tadi.

Jurucakap Smart Selangor Command Center (SSCC) berkata, PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields yang menempatkan 91 mangsa daripada 24 keluarga manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang menempatkan 164 mangsa daripada 46 keluarga.

“Mangsa di PPS Balai Raya Jaya Setia pula dipindahkan ke SK Jaya Setia pada 9.30 malam semalam dan menempatkan seramai 38 mangsa banjir daripada 10 keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, hujan lebat pada petang semalam menyebabkan paras air banjir di beberapa kawasan meningkat antaranya di Kampung Jaya Setia, Bestari Jaya dekat sini.

“Di Parit Mahang pula paras air banjir di sana meningkat setinggi 0.60 meter berbanding 0.30 meter pada malam tadi akibat limpahan air dari Sungai Buloh,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor menyediakan sebuah pam berdekatan sungai berkenaan untuk menyedut air dari sungai itu untuk mengelakkan banjir bertambah buruk.

– BERNAMA


Pengarang :