EXCOSELANGOR

Manual Pengurusan Rumah Selangorku mudahkan pemaju, JMB

SUBANG JAYA, 5 OKT: Kerajaan Negeri bakal melaksanakan garis panduan Manual Pengurusan Rumah Selangorku bagi membantu memudahkan pemaju dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) perumahan berstrata.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, manual itu sebagai garis panduan pengurusan bangunan daripada peringkat pemaju sehingga diserahkan kepada JMB.

Katanya, manual itu disediakan berdasarkan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) sedia ada, namun disusun bagi memudahkan pihak pengurusan memahami langkah bagi menguruskan bangunan.

“Bagi perumahan berstrata harga kawalan yang baru dibina atau kini dijenamakan semula sebagai Rumah Selangorku, kaedah yang digunakan Kerajaan Negeri adalah dengan cara mencegah di peringkat awal daripada berlakunya masalah berkaitan pengurusan bangunan.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada kawasan perumahan berstrata harga kawalan seperti kos sederhana dan rendah memandangkan ia didiami golongan B40.

“Kerajaan Negeri melihat bahawa komuniti yang tinggal di kawasan perumahan ini perlu diberdayakan bagi kesejahteraan jangka masa panjang.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melalui video pada Majlis Pelancaran Buku “HBA Insight Into Strata Management Legislations” di Taylor’s University Lakeside Campus, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Haniza berkata, Kerajaan melalui Pesuruhjaya Bangunan (COB) tetap memberi perhatian kepada kawasan perumahan berstrata kos tinggi melalui kursus pengurusan bangunan supaya komuniti yang tinggal di kawasan perumahan berstrata dapat hidup dalam keadaan kondusif dan lestari.

“Kerajaan Negeri sangat mengalu-alukan pelbagai usaha yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan, termasuk Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan melakukan pelbagai program bagi memberdayakan komuniti di kawasan perumahan berstrata.

“Justeru, kami lihat segala usaha dan inisiatif ini perlu dilaksanakan secara usahasama membabitkan pelbagai pihak atau dikenali sebagai perkongsian pintar bagi mencapai objektif yang lebih besar bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Lestari,” katanya.


Pengarang :