Amirudin Shari menyantuni penerima dalam Program Bersama Penerima Bantuan Sekolah Agama Rakyat Negeri Selangor Fasa 1 Tahun 2019 di Masjid Negeri Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB agih bantuan RM7.7 juta kepada sekolah agama Selangor

SHAH ALAM, 5 OKT: Kerajaan Negeri mengagihkan sejumlah RM7.7 juta bantuan persekolahan Fasa 1 2019 kepada 435 buah sekolah agama rakyat Negeri Selangor.

Penerima bantuan itu terdiri daripada sekolah pondok, madrasah, ma’had tahfiz, kelas agama fardu ain (KAFA) serta sekolah rendah dan menengah Islam persendirian.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada RM24 juta yang diperuntukkan Kerajaan Negeri menerusi Program Agihan Bantuan Sekolah tahun ini.

“Secara keseluruhan, agihan bantuan sekolah Fasa 1 2019 adalah sebanyak RM19.21 juta yang dibahagikan kepada 665 buah sekolah di seluruh Negeri Selangor.

“Sebelum ini, kita sudah agihkan kepada sekolah Cina dan sekolah mubaligh. Insya-Allah menjelang akhir tahun ini kita dapat salurkan baki peruntukkan kepada semua sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra Bersama Penerima Bantuan Sekolah Agama Rakyat Negeri Selangor Fasa 1 Tahun 2019, di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, di sini, hari ini.

Amirudin Shari bergambar bersama penerima dalam Program Ramah Mesra Bersama Penerima Bantuan Sekolah Agama Rakyat Negeri Selangor Fasa 1 Tahun 2019 di Masjid Negeri Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Katanya, kelewatan pengagihan peruntukkan yang kebiasaannya dilakukan pada bulan Jun dan Julai berpunca daripadaperubahan portfolio EXCO serta proses mengemaskini data permohonan.

Sebelum ini, portfolio Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor dipegang Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia pada 2 Ogos 2018.

Dalam ucapan sama, Amirudin memaklumkan permohonan bantuan sekolah untuk Fasa 2 telah dibuka sejak 10 September lalu dan akan berakhir pada 11 Oktober ini.


Pengarang :