SELANGOR

MB: Calon SPM diberikan perhatian, patuhi arahan berpindah

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 28 OKT: Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor akan mengatur tindakan sewajarnya bagi memastikan mangsa banjir yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat mendudukinya bermula Isnin hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, semua calon akan dikenalpasti terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diputuskan.

“Bagi calon-calon SPM yang akan bermula 5 November hadapan kita akan kenalpasti dan kalau ada keperluan kita sedang mengatur tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, hari ini.

Dalam sidang media sama, Amirudin turut menasihatkan semua penduduk yang berhadapan banjir supaya berpindah demi memastikan keselamatan semua.

“Saya menasihatkan penduduk kalau dapat arahan untuk berpindah, sila berpindah kerana kita tidak dapat memberikan jaminan keselamatan,” katanya.

Di samping itu, beliau turut memaklumkan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin terlibat untuk persiapan pasca banjir boleh menghubungi Unit Bencana Negeri supaya proses pemberian bantuan dapat diselaraskan.


Pengarang :